headline photo

Tuesday, July 29, 2008

.:Praktikal 1:.

Assalamualaikum. Masuk minggu ini sudah hampir 4 minggu aku buat praktikal Hospital Kuala Krai (HKK). Di Kelantan, selain HUSM, hanya HKK dan Hospital Raja Perempuan Zainab 2 sahaja yang mempunyai pakar untuk kesemua bahagian. Maka, HKK menjadi hospital rujukan untuk pesakit-pesakit dari daerah Gua Musang dan Machang yang memerlukan khidmat pakar. Manakala untuk daerah lain, rujukan dibuat di HRPZ2. Banyak sungguh ilmu yang telah ditimba sepanjang 3 minggu yang lalu. Minggu pertama aku luangkan masa di bahagian A&E, O&G (sehari sahaja), Surgical Ward dan Makmal & Tabung Darah. Manakala minggu kedua dan ketiga diluangkan untuk Orthopedics Ward dan A&E. Turut sama bersama aku di sini ialah Fareez, seorang penuntut di Russian State Medical University dan Wee, seorang penuntut dari Crimea State Medical University.


.aku.fareez.wee.

Minggu pertama cukup memuaskan kerana dapat turut serta membuat rondaan pagi di Surgical Ward bersama-sama MO dan pakar bedah. Sambil-sambil mereka membuat pemeriksaan terhadap para pesakit, sempat juga mereka bertanyakan beberapa soalan berkaitan pesakit dan juga meminta kami untuk turut sama membuat inspection ke atas pesakit (untuk menguji kemahiran kami..hehe). Turut didedahkan kepada kami adalah cara membaca foto x-ray dan pendekatan untuk menemubual para pesakit bagi mendapatkan anamnesis pesakit. Aku juga turut dibenarkan menjadi OT (operation theater) assistant kepada doktor bedah dalam melalukan hernioplasty kepada pesakit yang mempunyai right inguinal hernia (RIH). Maka, aku perlu melakukan scrubbing sebelum boleh memasuki ruang operation yang sterile. Nurse di OT tersebut mengajarku teknik scrubbing dari mula membasuh tangan sehinggalah ke peringkat memakai sterile gown. (Sesungguhnya teknik scrubbing di Moscow dan Malaysia cukup berbeza sekali. Di Malaysia jauh lebih bergaya cara basuhannya. Di Moscow, apa yang aku belajar adalah membersihkan tangan di dalam 2 mangkuk yang mengandungi larutan khas. haha, tak perlulah aku ceritakan teknik di sana.) Dan kemudian, barulah aku boleh masuk ke ruangan sterile.Hah, letih sungguh berdiri di sisi doktor. Hampir 2 jam rasanya untuk menjalankan pembedahan tersebut. Selesai sahaja operation tersebut, aku terus pulang ke rumah dan tertidur keletihan. haha, lemah sungguh!

Di A&E pula lain ceritanya. Hampir kesemua doktor begitu sibuk menguruskan para pesakit kes-kes kecemasan. Maka, kami 'tidak cukup berani' untuk mengganggu kerja doktor di situ. hehe. Penyelesaiannya, aku mendekati MAs dan belajar darinya. Di makmal dan unit tabung darah, aku diberi peluang untuk menyuntik beberapa pesakit bagi mengambil darah mereka. Berdebar juga rasanya. Bukan apa, di Moscow kami belum lagi dibenarkan menyuntik pesakit yang betul. Sebaliknya, kami hanya berlatih menyuntik pada patung sahaja. Sedih kan? Jadi, aku perlu mengasah kemahiran suntikan dengan betul-betul dalam sesi praktikal kali ini. Dalam keghairahan untuk menyuntik pesakit, tiba-tiba datanglah seorang wanita untuk diambil sampel darahnya. Sedang aku bersedia untuk menyuntik wanita tersebut, nurse membisikkan sesuatu padaku. Katanya, suami wanita ini RVD (retroviral disease) positif. Maknanya, suaminya ini terlibat dengan drug abuse dan terkena jangkitan HIV. Dikhuatiri wanita ini juga turut terkena jangkitan tersebut. Maka, nurse menasihatkan agar suntikan dilakukan dengan cukup berhati-hati kerana risikonya tinggi. Pada hari yang lain, kami diajak untuk turut serta dalam menjayakan kempen derma darah di salah sebuah mukim di daerah Kuala Krai. Bilangan penderma darah yang kami sasarkan adalah 100 orang, namun bilangan yang menderma hanya 17 orang sahaja. hmm, matlamat tak tercapai. Di O&G pula, kami bernasib baik kerana melihat kelahiran seorang bayi. Nasib baik pesakit tersebut memberi keizinan untuk kami melihatnya beranak, kalau tidak, sehingga kini pun aku masih belum berpeluang melihat orang melahirkan anak. Terima kasih kerana wanita tersebut. Bukan senang hendak melahirkan anak. Dan bukan senang juga tugas menyambut kelahiran. Penuh dengan debaran. Namun, wanita tersebut tidak menghadapi banyak kesukaran kerana kelahiran kali ini adalah yang kelima. Maka, wanita tersebut sudah berpengalaman dalam melahirkan anak.

Minggu kedua pula, kami ke bahagian Orthopedics ward. Kami memperkenalkan diri kepada MOs dan pakar orthopedics. Pakar orthopedics di sini sangatlah baik hati kerana dia berbesar hati untuk menjadi 'guru rasmi' kami sepanjang attachment kami di HKK. Oleh kerana unit orthopedics ini lebih berkaitan kepada skeletal system, joints, ligaments and muscles, hampir setiap hari kami disajikan dengan pelbagai imej x-ray. Beliau (doktor pakar) memberikan kami x-ray films dan memberikan kami masa untuk mentafsirkannya. Memang sukar untuk mencari fracture site lebih-lebih lagi kalau fracture berlaku pada tempat-tempat yang agak tersembunyi seperti subcapital fracture dan trochanteric fractures pada femur. Namun, fracture pada shaft lebih senang untuk dicari. Kami juga diberikan pendedahan kepada beberapa jenis fractures pada tangan seperti Galeazzi's, Colles', Monteggia's dan Smith's fracture (sila cari sendiri huraian berkaitan fractures tersebut di internet kalau anda berminat..namun doktor aku pesan jangan sesekali guna Wikipedia untuk mendapatkan maklumat. Kata beliau dengan nada marah, info di Wikipedia tak beberapa tepat!).

Banyak kali juga aku dibenarkan untuk menjadi assistant beliau di OT dalam menjalankan beberapa operations. Pada hari khamis 24 Julai yang lalu, kami melakukan 5 operations yakni 2 excision of ganglion of wrist, 1 plating untuk closed fracture of right tibia, 1 disarticulation of 3rd toe bagi kes right 3rd toe gangrene akibat diabetes dan akhir sekali 1 plating untuk open fracture of right tibia grade II. Kami bertiga secara bergilir-gilir menjadi assistant kepada pakar ortho tersebut dalam melakukan pembedahan. Dari pagi hingga ke petang kami menapak di OT. Dan kelmarin pula, kami masuk OT lagi untuk melihat below knee amputation (BKA) untuk seorang diabetic patient. Kasihan pesakit tersebut kerana terpaksa membuang sebahagian dari kaki kirinya. Menerusi operation tersebut, doktor tersebut menunjukkan kami beberapa struktur anatomi yang penting di bahagian yang dibedah seperti tibialis anterior muscle, peroneus longus muscle, saphenous magna vein, common peroneal nerve dan banyak lagi. Berbaloi sungguh masuk OT pada hari tersebut.

Inilah antara gerak kerja yang dilakukan dalam BKA. Ketika ini, doktor pakar telahpun selesai memotong sebahagian daripada common peroneal nerve setelah bahagian bawah lutut dipisahkan dari badan pesakit.

Oh, lupa pula. Pada tengahari tersebut,aku dan Wee berjalan keluar dari wad bersama doktor untuk ke OT. Namun, sedang kami melalui ruangan porch di depan A&E, tiba-tiba datang sebuah kereta berhenti secara tiba-tiba betul di depan kami. Keluar seorang nurse dari tempat memandu dengan tergesa-gesa serta sedang menangis, dan kemudian menjerit meminta tolong. Namun, tiada seorang pun staf A&E yang datang. Jeritannya tidak cukup kuat barangkali. Maka, dicapainya stretcher dan meminta kami untuk membantu membawa suaminya yang pengsan ke A&E. Aku dan Wee dengan perasaan yang cukup terkejut mengusung suaminya ke atas stretcher dan membawa pesakit tersebut masuk. Dan terserahlah kepada para doktor untuk tindakan seterusnya. Aku dan Wee meminta kebenaran dari doktor kami untuk duduk sebentar di A&E untuk menyaksikan prosedur resuscitation. Semuanya dilakukan mengikut prosedur yang telah aku pelajari seperti teknik ABC dan penggunaan defibrillator, namun pesakit tersebut masih lagi belum stabil. Bladder catheterization dan beberapa lagi prosedur yang aku belum pelajari turut dilakukan. Apabila BKA hendak dimulakan, kami bergegas ke OT. Setelah selesai pembedahan, aku pulang ke rumah. Di rumah, mak dan ayah aku (kedua2 mereka turut bekerja di HKK) memberitahu bahawa pesakit di A&E tadi telah meninggal dunia. Takziah buat keluarga arwah tersebut.

Eh, panjang pula entri kali. Asyik sungguh menaip. Baiklah, harus berhenti di sini dahulu. Ada homework yang pakar ortho tersebut beri. Sememangnya setiap kali datang pesakit ke klinik untuk berjumpa beliau dengan disorders yang kami tidak beberapa familiar, beliau akan memberikan nama penyakit atau disorders tersebut dan meminta kami untuk mencari maklumat tersebut di internet. Kemudian esoknya, kami perlu membincangkan tentang penyakit-penyakit tersebut bersama beliau. ok, jumpa lagi.

3 comments:

-shahrin- said...

salam
menarik~

Hafizuddin Awang said...

wsalam,
memang menarik pun. harap2 hospital ampang yg gah tu lebih menarik dari yg ini. kekeke.

Fatin Izzati said...

salam. first time jumpa blog ni. sbb suka sgt bc blog org. pengalaman menarik la. bagus2. update la lg.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails