headline photo

Thursday, February 25, 2010

Rapsodi 23


RAPSODI 23

Aku belum cukup balaghah,
dalam bahasa manusia
yang pantas berubah,
meski menginjak
23 hayat syamsiah.

Aku belum tahu diasin garam,
tapi telah ku jumpa segala macam
himpunan manusia berbeda ragam.
Ada yang jujur
tak kurang yg menikam,
ada yang baik hati
ada yang kelam,
jenis pemaaf
dan kaki berkesam,
yang pandir
dan yang berakal tajam,
yang santai
yang suka melaram,
dan bermacam-macam!

Benar orang kata
hidup ini tamsilnya roda,
kejap di atas kejap di bawah.
Umpama aku jua,
tak selalu adanya tawa,
terkadang datang sangkawa.
Tak semesti dihujani rezeki
kerana turut dirundung rugi.
Dan bertingkah-tingkah lagi
baik mahupun keji,
yang datang menimpa diri.

Diri ini juga,
tak terlepas dari cinta dan kecewa.
Hatiku pernah remuk berkecai,
lantas aku kutip
dan cantumkan kembali.
Lantas ku pohonkan kuat,
serta himpunkan semangat.
Janganlah sekali kecewa
perlu seabad berduka.
Perjalanan ini masih lama,
kalau diturut hati yang lara,
aku yang sekarang pasti tiada.


Dan tak terkecuali
dari khilaf dan salah.
Aku kan tak sempurna
sama seperti kamu juga.
Terlanjur kata
tersilap bahasa
terpesong akhlak
dan terlupa adab!
Seakan jadi stereotaip hidup
mustahil ada sifatnya cukup.

Sekilas ku rayu kemaafan,
dan ku titipkan harapan,
moga kita semua terus berkawan,
menyemai kasih sayang
yang kekal berpanjangan.



Happy 23rd Birthday to me!


Salam. Masuk sahaja 25 Februari 2010, usiaku sudahpun menginjak kepada 23 tahun. Syukur ke hadrat ilahi kerana masih lagi dipanjangkan hayat dan dimurahkan rezeki. Semalam merupakan malam yang cukup menggembirakan kerana ada sambutan hari lahir khas untuk aku. Malas pula rasanya untuk muat naik gambar-gambar ke laman blog ini. Kalau mahu tengok, jenguk sahaja ke laman facebook aku. hehe.

Sempena hari lahir aku ke-23, aku nukilkan sebuah sajak yang berjudul Rapsodi 23. Namun, kadungannya seolah paradoks dengan judul kerana rapsodi sepatutnya berunsur gembira dan riang. Tapi hakikatnya kandungan lebih kepada mood serius. hehehe layan jer! Oh, selamat menyambut Maulidur Rasul juga!


3 comments:

HBM Consultant said...

Salam.

Tahniah dan selamat hari lahir! (harap belum terlewat)... Semoga perjalanan hidup dilimpahi rahmat dan keberkatan, semoga urusan kehidupan dimudahkan, semoga dilindungi dari segala keburukan dan kejahatan, semoga segala usaha diiringi kejayaan dan semoga kasih sayang melingkari seluruh jalan kehidupan. Amin.

unie said...

Selamat hari ulangtahun kelahiran yg ke-23. Semoga Allah rahmati serta permudahkan perjuangan anda di sana.

Hafizuddin Awang said...

salam cikgu marni dan puan wan munirah.

terima kasih tak terhingga utk nasihat, harapan dan doa tersebut. :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails