headline photo

Monday, February 2, 2009

Suara Kecil Moscow Tentang PPSMI

Aku berasa tergerak untuk menyuarakan pendapat peribadi mengenai isu penggunaan bahasa inggeris dalam pengajaran sains dan matematik (PPSMI) setelah melihat Gerakan Karyawan Luar Negara (GKLN) begitu bersungguh-sungguh dalam menegakkan pendirian protes PPSMI.




Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan ada menyatakan bahawa penggunaan bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dapat membawa banyak kemudaratan kepada pembangunan modal insan negara. Ya, aku seratus peratus bersetuju dengan kenyataan beliau itu. Sememangnya PPSMI ini boleh mengganggu pembangunan modal insan negara, bermula seawal peringkat sekolah rendah lagi.

Alasan yang sering digunakan oleh pendukung PPSMI adalah kerana kelemahan pelajar-pelajar Melayu dalam menguasai bahasa Inggeris samada dari segi pemahaman, pertuturan ataupun penulisan. Benar, kelemahan penguasaan bahasa Inggeris sememangnya menjadi stigma yang cukup memalukan orang Melayu. Namun, sekiranya isu penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi permasalahan utama, maka carilah jalan untuk menguasai bahasa Inggeris. Bukannya melibatkan subjek sains dan matematik. Kalau belajar Matematik dalam bahasa Melayu pun susah, apatah lagi kalau diajari dalam bahasa Inggeris. Sudah tentu berkali ganda lagi kesusahannya.

Rusia sendiri pun tidak pernah langsung terlintas untuk menguatkuasakan PPSMI kerana mereka tahu, bahawa sia-sia sahaja menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar seandainya pelajar-pelajarnya langsung tidak akan faham apa yang diajari. Berpegang kepada konsep itulah mereka menggunakan bahasa ibunda mereka untuk mengajar bermula dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat menara gading. Tidak pula aku lihat mereka mundur kerana tidak menggunakan bahasa Inggeris. Malahan mereka lebih terdahulu menghantar manusia ke angkasa berbanding negara-negara lain yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Bukan angkasa sahaja mereka lebih dahulu terokai, malahan ilmu-ilmu perubatan, kimia dan pelbagai lagi.

Bagi sesiapa yang belajar di Rusia, mereka akan merasakan bahawa betapa pentingnya pengajaran dikendalikan dalam bahasa yang boleh mereka fahami supaya dapat diserap segala ilmu yang diajarkan. Bayangkanlah kuliah Neurologi dikendalikan dalam bahasa Rusia? Bayangkan betapa ruginya sesetengah dari kami yang tidak beberapa memahami material yang cuba disampaikan. Peri pentingnya material ini kerana bakal diaplikasikan tatkala kami bekerja kelak. Namun, rentetan diajar dalam bahasa Rusia, maka sia-sialah usaha si profesor berkenaan untuk mengajar kami. Tidak faham kami bukan kerana guru kepalang ajar, namun kerana bahasa guru tersebut tidak difahami pelajarnya. Begitulah realiti sesetengah dari kami di sini. Tidak cukup berhempas pulas untuk memahami subjek2 perubatan yang agak rumit ini, ditambah pula dengan bebanan untuk mengasah kemahiran bahasa Rusia.

Namun usah dikasihankan kami di Rusia ini kerana kami sudah boleh menyesuaikan diri dengan cara belajar yang sebegitu rupa. InsyaAllah boleh menjadi doktor yang berguna hendaknya. Siapa yang perlu dikasihankan sekarang adalah anak2 muda di Malaysia yang terkandas dalam kepompong PPSMI ini. Pendukung PPSMI perlu ingat bahawa bukan semua pelajar sehebat Adi Putra yang boleh menguasai 6 bahasa kalau tidak silap aku. Contohnya, kalau seorang budak menghadapi kesukaran memahami subjek bahasa Inggeris, apakah dia perlu dibebani dengan kesukaran untuk memahami Matematik dan Sains yang rumit yang juga turut diajari dalam bahasa Inggeris? Kasihan mereka. Kalau ilmu tambah tolak darab bahagi pun masih lagi goyah dek ketidakfahaman mempelajari dalam bahasa Inggeris, cubalah bayangkan nasib mereka kelak ketika mempelajari ilmu algebra, kuadratik, matriks dan pelbagai lagi.

Sekadar untuk menenangkan hati pencinta bahasa, ada orang kata yang PPSMI ini merupakan pilot project sebagai percubaan untuk melihat sejauh mana keberkesanan BI dalam pengajaran sains dan matematik. Hmm, pencinta bahasa sememangnya tidak bersetuju dengan kaedah ini. Kerana apa? Kerana kalau mereka benar-benar mahu mencuba kaedah pengajaran baru, mengapa tidak dilakukan dalam kuantiti pelajar yang sedikit dan dalam keadaan yang terkawal? Ini tidak. Habis kesemua pelajar di Malaysia, termasuklah pelajar2 orang asli di segenap ceruk pedalaman negara yang mungkin sekolah mereka tidak cukup alat bantu mengajar, diarah untuk belajar sama dalam bahasa Inggeris. Apa akan jadi kepada beberapa batch pelajar ini sekiranya kaedah ini terbukti gagal dalam masa beberapa tahun akan datang? Bukankah ini dinamakan pembaziran modal insan nasional?

Konklusi dari aku, kalau masalah yang ingin diatasi adalah berkaitan penguasaan bahasa Inggeris, maka jalan penyelesaiannya mesti berkaitan kepada penguasaan bahasa Inggeris sahaja. Usahlah menyimpang kepada subjek-subjek lain. Lain yang luka, lain yang dibebat. Aku akhiri dengan serangkap pantun:

Jika bunga tak hendak disunting,
Bolehlah dibuat peraksi kain,
Jika bahasa yang menjadi dinding,
Usah ditukar ke pengantar lain.

Suara GAP bergema juga dari GKLN Rusia.

13 comments:

Anonymous said...

Salam Judin.

Tahniah. Pendapat yang mantap. Bersuara demi bangsa dan jatidiri negara yang makin pudar. Tahniah!

Anonymous said...

Dari apa yang aku fikir, PPSMI mmg tdak wajar diaplikasikn secara meluas. Akan tetapi kepentingan menguasai bahasa inggeris itu sgt kritikal bagi kita. Mungkin tepat juga dikatakan bahawa segenap besar orang Russia tdak mengambil berat utk mempelajari bahasa kedua, memandngkan bangsa mereka sendiri telah berjaya dalam pelbagai bidang dan menghasilkn buku2 dan bahan2 rujukan dlm bahasa mereka sendiri utk generasi mereka yg akan dtg. Tapi kita masih membangun dan perlu mengejar perkembangan dunia luar untuk pergi lebih jauh. Kita memerlukan..tidak,bergantung pada bahan rjukan luar untuk tidak tertinggal di belakang. Oleh itu, penguasaan bahasa asing sgt penting bagi kita, tidak seperti orang Russia yang sememangnya "self sufficient" dari dahulu hingga sekarang.

Hafizuddin Awang said...

Wsalam KS, terima kasih. sememangnya GAP memerlukan sokongan dari seramai mungkin untuk memastikan PPSMI tidak diteruskan.

kiah, memang benar BI diperlukan untuk memastikan kita di msia sentiasa dpt catch up dgn pkembangan dunia. maka jalan penyelesaiannya, tumpukan sahajalah pada penguasaan bahasa inggeris. mantapkan lagi modul2 dalam silibus pembelajaran BI. usah dikacau subjek matematik dan sains.

Anonymous said...

salam

setuju. siapa bilang bahasa melayu tidak boleh maju.

ya, mahu belajar bahasa lain tidak bermakna sehingga mengorbankan bahasa sendiri. apa lebihnya menguasai bahasa inggeris tanpa tahu bahasa melayu.

sains kita sekarang mengikut kerangka inggeris dengan total. siapa cipta periuk nasi elektrik?. jepun bukan?. mana orang india dan orang melayu yang makan nasi dan belajar sains bertahun2?.

sokong GMP!. perhimpunan 100,000 bantah PPSMI bulan mac nanti. jangan lupa hadir jika anda di tanahair.

wassalam.

Hafizuddin Awang said...

salam ahmad, sungguh PPSMI ini merunsingkan banyak pihak. tunggulah impak negatif PPSMI ini menimpa anak2 mereka, bolehlah kita lihat mereka2 ini mula nak terngadah.

Anonymous said...

saya setuju ngan kamu tp keadaan di msia saat dan ketika ini, entahlah saya tidak phm kdg2 dgn cara pemikiran pemimpin2 kita.. mereka lebih mengejar populariti dan kuantiti berbanding kualiti..
lg 1, pengajaran di msia inikan exam oriented..
sy mahu melihat perubahan dlm sistem pendidikan negara namun bukan perubahan yg mendadak dan tidak relevan.. bahasa asing itu penting sbg salah satu bonus utk kita namun identiti dan jati diri wajar terus dikekalkan..

Hafizuddin Awang said...

hmm lepas tgk apa yg berlaku di perak, saya rasa isu ppsmi ni macam akan tenggelam mcm tu saja. polemik2 di msia ni mcm chipsmore, kejap ada kejap tiada. kena tukar policy-maker yg efektif dulu, barulah negara bahagia sket.

IlhamHamdani said...

Tahniah Tuan Hafizuddin,

GAP bukan sahaja beban yang harus dipikul oleh mereka yang minat sastera, tetapi juga perenung nasib bangsa!

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

D'Rimba said...

Terima kasih atas pandangan bermakna. Negara kita ini terlalu acuan kebaratan segala itulah masalahnya semuapun barat. Anak bangsa amat dahagakan acuan tersendiri berteraskan Islam sejati.

D'Rimba said...

Sisitem pendidikanpun masih kurang seimbang terlalu teori sangat penilaian berdasarkan keputusan peperiksaan di atas kertas semata. Kita perlu rombakan sistem pendidikan lebih seimbang teori dan praktikal beracuan tersendiri berteraskan Islam sejati bukan barat sana sini. Mesti tekankan penciptaan, usahawan dan kebajikan semenjak di peringkat awal pendidikan lagi. Bidang perniagaan perlu dititik beratkan bagi melahirkan ramai usahawan berjaya suka membuat amal kebajikan di masa depan.

HBM Consultant said...

Salam,

Saya berbangga kerana anak Melayu yang jauh di perantauan memiliki kesedaran yang jauh lebih tinggi berbanding (ramai juga) anak Melayu yang tinggal di Tanah Melayu ini.

En. Hafizuddin kata "tunggulah impak negatif PPSMI ini menimpa anak2 mereka, bolehlah kita lihat mereka2 ini mula nak terngadah"... tetapi percayalah, mereka yang membuat dan mendokong dasar ini tidak akan merasa impak negatif ke atas anak-anak mereka kerana anak mereka menguasai BI lebih baik daripada BM.

HBM Consultant said...

Saya mohon izin untuk menyalin dan menggunakan logo GMP yang comel itu di blog saya. Maaf, kerana menggunakannya terlebih dahulu sebelum keizinan diberikan. Maaf ya!

Terima kasih.

Kampung Kelawar said...

Assalamualaikum,
Alhamdulillah,walaupun telah berada di luar negara jati diri amat mantap dan punyai peribadi yang hebat.Tidak malu memperakui Bahasa Melayu sebagai bahasa yang perlu diutamakan.Syabas.
Tiada alasan sebenarnya untuk mempertahankan PPSMI.Pemimpin UMNO Melayu hanya mempertahankan kesombongan dan kebongkakan mereka sahaja.Telah terbukti tiada negara yang canggih dan maju terkehadapan dalam bidang sains atau apapun kecuali negara yang menggunakan bahasa ibundanya sahaja.Contoh Jepun,Jerman,Italy,Perancis dan lain-lain lagi.Negara yang menggunakan bahasa Inggeris yakni tidak menggunakan bahasa ibunda seperti Pakistan,Filipina,India,Burma dan lain-lain tidakpun maju dan terkehadapan dalam bidang sains.Malah kalau pergi ke Filipina pengayuh beca,yang tidur di kaki lima dan ramai tidur dan berumah bawah jambatan berabuk cakap Inggeris.Yang kaya hanya sedelintir minoriti.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails